Hikmah Melayu
Hikmah Melayu
Hikmah Melayu 1
Motif Tenunan Melayu mengandungi rahsia keilmuan dan keintelektualan Melayu. Selain bertindak sebagai hasil estetika dan kesenian, motif-motif tenunan Melayu menyampaikan makna yang tersirat kepada pemakainya. Hubungan akrab antara masyarakat Melayu dan alam akhirnya membuahkan ilham bagi motif-motif bersangkutan alam. Antaranya termasuklah motif ‘tampuk manggis’ dan ‘pucuk rebung’.
Tampuk Manggis merupakan salah satu motif yang lazim dalam tenunan Melayu melambangkan hikmah dan nilai Melayu. Bagi orang Melayu, buah manggis membawa dua nilai simbolik. Kelopak tampuk manggis yang terletak di bahagian bawah buah tersebut menjanjikan apa yang perlu kita penuhi. Jumlah kelopak tampuk adalah sama dengan jumlah ulas isi buah manggis. Isinya yang putih melambangkan ‘kebersihan’, ‘kesucian’ dan ‘keluhuran’ nurani atau hati kita. Hikmahnya adalah marilah kita bersikap luhur dengan memenuhi apa yang telah kita janjikan (Norwani Nawawi, 1989).
Pucuk Rebung pula merupakan motif yang diilhamkan daripada pengamatan orang Melayu terhadap sifat pohon bambu. Pohon bambu dianggap sebagai pohon yang berpendirian tinggi dek sifatnya yang tidak mudah rebah sekalipun berhadapan dengan angin yang kencang. Budayawan Melayu mempunyai hikmah bahawa motif pucuk rebung adalah simbolik bagi ‘pohon hayat’ atau ‘bunga semangat’ sebagai manifestasi semula jadi. Namun demikian, satu lagi pendapat ialah motif tersebut mewakili 'gunung' dan berpunca daripada titik Zat Allah. Motif tersebut memberi gambaran terhadap alam syahadah, alam misali dan alam arwah (Mohamad, 1984). Demikian halnya, motif tersebut kadangkala turut disebutkan sebagai motif 'gunungan'.
Hikmah Melayu 2
Irama Melayu terdiri daripada lima rentak asas, yakni Joget, Zapin, Inang, Masri dan Asli. Antara alat-alat muzik yang dimainkan dalam muzik Melayu ialah rebana, gambus, biola, mandolin, gitar, rebab, dan nafiri. Namun, rebanalah yang dianggap sebagai 'ibu' irama Melayu dan merupakan alat muzik asas dalam menentukan irama yang ingin dimainkan.
Rebana berasal daripada 'rabbana' yang bererti 'Tuhan kami' dalam bahasa Arab. Rebana pada awalnya sering mengiring lagu-lagu yang bernuansa Arab seperti hadrah dan qasidah. Meski demikian, penggunaan rebana terus bertahan sepanjang zaman kerana ia digunakan dalam muzik-muzik yang lebih kontemporari. Rebana simbolik sebagai detak jantung masyarakat Melayu dan berjaya berfungsi sebagai alat yang memupuk kesatuan dalam masyarakat Melayu. Hal ini dapat dilihat dalam peribahasa 'jika sengaja hendak bercekak pinggang, tinggallah rebana beralih ke gelanggang; tak tahu pipit tak tahu enggang, yang rapat kelak menjadi renggang'.
Gambus merupakan alat muzik bertali yang berasal daripada Parsi, dan sering digunakan dalam muzik zapin dan ghazal. Alat muzik tersebut dipercayai telah memainkan peranan yang besar dalam meningkatkan rasa assabiyah atau kesatuan antara pedagang-pedagang Arab dan masyarakat tempatan sekitar hujung abad ke-13. Terdapat tiga jenis gambus, yakni gambus Hadramaut, gambus Seludang dan gambus Melayu. Gambus sering mengiringi alunan nyanyian ghazal dan kini semakin popular digunakan dalam genre irama Melayu nusantara.
Rujukan
Sahaimi Abd. Manaf dan Ali Rahman. (1987). Rebana: paluan berirama. Selangor: Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia.
Hikmah Melayu 3
Wayang Kulit amat jarang dipersembahkan dan dibincangkan di dalam konteks budaya Melayu Singapura. Namun, wayang kulit sebenarnya berpengaruh besar dalam membentuk falsafah dan kosmologi masyarakat Melayu. Antaranya termasuklah penekanan terhadap sikap rendah hati Pak Dogol dan Semar dalam wayang kulit Melayu dan Jawa, serta pohon budi sebagai lambang alam semesta.
Pak Dogol merupakan Bentara Guru Agung dalam wayang kulit Melayu. Sekalipun merupakan ketua dewa-dewa, beliau telah menyamar sebagai manusia biasa untuk mengabdikan diri kepada Raja Seri Rama. Tanpa disedari Raja Seri Rama, Pak Dogol sebenarnya berasal daripada golongan yang lebih mulia. Pak Dogol berpegang teguh pada prinsip berkhidmat untuk masyarakat dan sanggup mencemar duli demi kemaslahatan masyarakat sekelilingnya. Hal ini sekali gus mengingatkan kita akan tanggungjawab dan amanah kepada masyarakat sekeliling, tidak kira pangkat mahupun darjat. Watak yang serupa turut dapat dilihat dalam Semar, watak yang serupa dalam wayang kulit Jawa.
Pohon Budi pula merupakan simbol bagi manifestasi ilmu dan zat ketuhanan yang berdiri teguh sejak azali. Setiap persembahan wayang kulit pasti bermula dengan pemaparan pohon budi dalam lenggang beringin sebelum diakhiri seluruh tayangan dengan pacak beringin. Perkara tersebut simbolik sebagai zat ilmu yang kekal abadi dan melampaui batas kehidupan sesebuah masyarakat. Pohon budi dapat dibahagikan kepada dua bahagian utama dan mencerminkan kepercayaan Melayu terhadap konsep dua elemen yang saling melengkapi antara satu sama lain. Hal tersebut serupa dengan konsep 'yin' dan 'yang' dalam budaya Cina dan mencerminkan falsafah budaya Melayu yang berpegang pada budi dan badi, tuhan dan hantu, syurga dan neraka dan sebagainya. Kononnya, kedua-dua perkara mesti hadir dalam dunia untuk memastikan kesejahteraan dalam hidup. Namun lebih penting lagi, penggunaan pohon budi sebagai pemula dan pengakhir panggung sekali gus mencerminkan kesedaran dan penghormatan kepada ilmu.
Rujukan
Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan. (2003). Wayang Kulit. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia.
Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Caribbean Studies. (1890). Wayang Kulit 1890. Diperolehi Mac 5, 2018, daripada Wikipedia Common.
Pemerintah Kota Pangkal Pinang. (2015, September 18). Pagelaran Wayang Kulit. Diperolehi Mac 5, 2018, daripada Pemerintah Kota Pangkal Pinang.
Hikmah Melayu 4
Pisang bukan sahaja merupakan sumber makanan bagi masyarakat Melayu tetapi mempunyai pertalian erat dalam konteks budaya dan kesusasteraan Melayu. Pantun klasik Melayu menyatakan, "Pisang emas dibawa belayar/ Masak sebiji di atas peti/ Hutang emas boleh dibayar/ Hutang budi dibawa mati". Orang Melayu juga mengambil iktibar daripada pohon pisang dengan mengingatkan diri supaya lebih berhati-hati dalam tindakan yang akan diambil supaya ‘pisang tidak berbuah dua kali’. Ini adalah hakikat alam. Lantas, pokok pisang yang telah berbuah perlu ditebang untuk memberi ruang kepada pokok pisang yang lain untuk hidup subur dan berbuah.
Ciri-ciri buah dan pokok pisang merujuk kepada khasiat dan nilai-nilai yang ditafsir oleh masyarakat Melayu. Pisang digemari dalam kalangan masyarakat Melayu dahulu atas sifatnya yang boleh diperam untuk jangka masa tertentu. Hal ini menjadikannya sesuai untuk dibawa sebagai bekalan dalam pelayaran jauh. Pisang turut kaya dengan khasiat yang dipercayai dapat mengawal penyakit mual dan mabuk laut. Pokok pisang mudah dijaga dan buahnya sesuai untuk dijadikan santapan beramai-ramai. Perihal tersebut sekali gus mengilhamkan peribahasa pisang sesikat, digulai sebelanga.
Kegunaan pisang tidak terbatas kepada buahnya sahaja. Malahan, hampir keseluruhan pohon pisang dapat digunakan. Namun demikian, lebih daripada itu, pisang turut digunakan secara simbolik dalam proses perpaduan. Hal ini dapat dilihat dalam adat perlimau tapak atau majlis penerimaan murid dalam ilmu persilatan. Dalam hal ini, pisang dimakan dengan asam dan garam sebagai simbol perpaduan antara murid-murid seperguruan. Batang pisang pula turut berguna untuk membuang karat pada keris.
Rujukan
Cawangan Dokumentasi dan Penerbitan. (2003). Wayang Kulit. Kuala Lumpur: Kementerian Kebudayaan, Kesenian Dan Warisan Malaysia.
Royal Netherlands Institute of Southeast Asian and Caribbean Studies. (1890). Wayang Kulit 1890. Diperolehi Mac 5, 2018, daripada Wikipedia Commons
Pemerintah Kota Pangkal Pinang. (2015, September 18). Pagelaran Wayang Kulit. Diperolehi Mac 5, 2018, daripada Pemerintah Kota Pangkal Pinang
Hikmah Melayu 5
Tengkolok, Tanjak dan Destar Melayu
Tengkolok, Tanjak dan Destar merupakan penanda status sosial pemakainya dalam masyarakat Melayu dahulu. Biarpun serupa, tengkolok, tanjak dan destar sebenarnya mempunyai permaknaan yang berbeza. Demikian halnya, pengkaji-pengkaji kebudayaan sepakat bahawa zaman kegemilangan penggayaan ‘pakai kepala’ berlaku pada zaman kegemilangan empayar Melaka pada abad ke-15.
Tengkolok pertama kali digunakan dalam Hikayat Malim Deman apabila menjelaskan rupa bentuk pakaian raja-raja. Tengkolok dipercayai merupakan pakaian kepala yang paling asas selepas semutar atau ikat kepala, yakni kain yang dililit dan diikatkan secara ringkas di kepala. Secara asasnya, tengkolok merupakan kain yang diikat pada kepala tanpa gaya yang khusus. Lazimnya, tengkolok berawal dengan bentuk tiga segi di kepala. Bentuknya, walau bagaimanapun, boleh berubah mengikut citra penggayaan pemakai.
Destar pula disebut dalam teks Hikayat Hang Tuah bagi merujuk kepada pakaian Hang Tuah dan rakan-rakannya. Selain itu, istilah tersebut turut digunakan dalam Hikayat Abdullah bagi merujuk kepada pakaian Dato’ Astur, seorang jurubahasa yang terkenal dengan kesetiaannya terhadap ‘pakaian asal orang Melayu’. Berbeza dengan tengkolok, reka bentuk destar lazimnya lebih kekal lama disebabkan penggunaan kanji atau lidi daun kelapa. Destar juga dianggap lebih sempurna berbanding tengkolok disebabkan perincian penyediaannya.
Tanjak atau setanjak disebut Kiyai Mas Endi, pewaris kesultanan Palembang sekitar abad ke-17. Takala itu, Kiyai Mas Endi kecewa terhadap Kesultanan Mataram yang enggan menghulurkan bantuan kepada Keraton Kuta Gawang dalam menghadapi tentangan Belanda pada 1659. Keraton tersebut merupakan pusat kerajaan kecil yang sebelumnya dibangunkan pewaris-pewaris Kerajaan Demak. Dalam keadaan marah, beliau membuang belangkon yang dipakainya sebelum memakai kain tiga segi yang diikat dan diangkat sebagai Sultan Abdurrahman Khalifatul Mukminin. Para pengkaji berpendapat bahawa tanjak membawa pengertian yang sama dengan destar dan merupakan varian sebutan bagi perkara yang sama. Sedangkan demikian, ada yang bertanggapan destar merupakan varian solekan untuk raja ataupun sultan sedangkan tanjak untuk orang kebanyakan.
Rujukan
Darta, A.A. Gde, A.A. Gde Geriya, A.A. Gde Alit Geria. 1996. Babad Arya Tabanan dan Ratu Tabanan. Denpasar: Upada Sastra
Munsyi Abdullah. 1960. Hikayat Abdullah. Singapore: Malaya Publishing House Ltd.
Wan Yahaya Abdullah. 2004 Destar Warisan Malaysia: Koleksi Terpilih. Kuala Lumpur Jabatan Muzium dan Antikuiti, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia.