Centre Director's Message
Salam sejahtera para guru yang dihormati.
Tahun ini merupakan tahun pertama saya menyandang tugas sebagai Pengarah Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS), menggantikan Puan Norhayati Awang yang kini bertugas sebagai Naib Pengetua di Sekolah Menengah Hougang. Saya ingin merakamkan ucapan terima kasih kepada Puan Norhayati Awang atas khidmat beliau yang cemerlang dalam menerajui MLCS sejak lima tahun yang lalu.
Sejak penubuhannya pada tahun 2010, MLCS telah melaksanakan pelbagai program untuk memacu kecemerlangan profesional guru Bahasa Melayu (BM). Usaha ini bertujuan memperkasakan guru agar mampu mereka bentuk pengalaman pembelajaran yang bermakna, relevan dan menarik bagi pelajar dengan profil dan keupayaan berbahasa yang berbeza-beza. Sebagai satu-satunya pusat latihan guru BM di Singapura, MLCS bertekad memastikan mutu pembelajaran dan pengajaran (PdP) BM berada pada tahap tinggi dengan menawarkan pelbagai program pembelajaran profesional bagi memenuhi keperluan pembelajaran guru BM. MLCS akan terus memainkan peranan penting dalam membina keupayaan dan keyakinan guru melalui program pembelajaran profesional yang relevan dan terkini.
Selain menawarkan kursus yang menyokong pelaksanaan kurikulum BM bagi pelbagai peringkat, MLCS juga memberi tumpuan kepada penerapan e-Pedagogi, Kecerdasan Buatan (AI) dan kemahiran abad ke-21 dalam PdP BM. Ini dilakukan secara terancang bagi menyokong usaha Kementerian Pendidikan untuk melahirkan pelajar yang memiliki minat mendalam dan rasa pemilikan terhadap BM serta berupaya mengharungi cabaran dunia digital. MLCS akan terus memainkan peranan penting dalam membina keupayaan dan keyakinan guru melalui program pembelajaran profesional yang relevan dan terkini.
MLCS juga komited untuk mengukuhkan jaringan kerjasama profesional melalui sokongan yang lebih padu di bilik darjah. Selain bekerjasama erat dengan Guru Kanan dan Guru Peneraju melalui Komuniti Pembelajaran Profesional (NLC), MLCS turut menyediakan ruang untuk guru bertukar-tukar idea tentang amalan terbaik dan strategi meningkatkan PdP. Para guru digalakkan berfikiran kritis dan reflektif dalam menggalas tugas dan tanggungjawab sebagai pendidik yang cemerlang dan profesional. Dalam dunia yang penuh ketidaktentuan, kita tidak boleh terus berada di takuk lama. Kita harus maju ke hadapan dengan lebih fleksibel, adaptif dan berinovasi.
Semoga tahun ini kita terus meningkatkan kecekapan untuk menjadi guru BM yang cemerlang. Marilah kita bergerak ke hadapan bersama-sama dengan yakin untuk terus memajukan bahasa Melayu yang kita cintai!
Sekian, terima kasih.
#MLCS Milik Kita Bersama
Encik Abdul Harris Sumardi
Pengarah Pusat
Pusat Bahasa Melayu Singapura (MLCS)